
Satu kerjasama dijalinkan di antara syarikat pengurusan pelancongan Awesome Nomad Sdn Bhd dengan Meatech College untuk melancarkan satu program pengajian secara pembelajaran berasaskan kerja (WBL) peringkat diploma dalam jurusan pengurusan pelancongan.
Perunding Utama Awesome Nomad Sdn Bhd, Dr Irwan Dahnil berkata program peringkat diploma secara WBL bersama Meatech College ini ada kelainan jika dibandingkan program biasa diploma di mana-mana institusi pengajian tinggi lain.
“Program diploma biasanya akan dijalankan selama dua tahun setengah di dalam kampus dan kemudian program praktikal selama tiga bulan tetapi program ini berbeza iaitu satu tahun setengah berada di dalam kelas dan selama setahun mereka akan ditempatkan dalam industri berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelajar program diploma jurusan pengurusan pelancongan secara WBL akan dihantar ke luar negara pada semester akhir selama tiga bulan untuk latihan.
Jalinan kerjasama ini akan turut melibatkan platform lain seperti Aviation Career Malaysia melalui YEG Academy untuk melancarkan YEG Pesta Sambung Belajar.
Satu majlis pelancaran program berkenaan diadakan di Auditorium Meatech College di Mantin Negeri Sembilan.
Pada majlis itu Felo Meatech College Zarul Umbrella, Pengarah Pemasaran YEG Academy Azizulhakim Suhaimi dan Pengarah School of Aviation Hospitality Che Rozaina Azizan akan menyampaikan ucapan.
Dr Irwan melalui syarikat Awesome Nomad menyediakan khidmat pengurusan pelancongan untuk kembara ke luar negara sebagai Tour Leader membawa pelancong dari Malaysia melawat negara-negara terkenal khususnya di benua Eropah.
“Kami sudah berpengalaman membawa ramai pelancong dalam satu pakej khas pelancongan yang tidak melibatkan kumpulan yang besar untuk mengunjungi negara yang terkenal ini dengan pakej pelancongan yang santai supaya pelancong dapat menikmati sepenuhnya pengalaman berada di sesebuah negara,” katanya.
Dengan program pengajian Diploma secara WBL jurusan pengurusan pelancongan, pelajar yang mengikutinya akan berpeluang memperoleh pekerjaan dalam industri pelancongan sebagai Tour Leader dan boleh menjalankan sebuah syarikat pelancongan.
“Mereka juga boleh akan mendapatkan input yang cukup untuk membolehkan mereka membuka sebuah syarikat pelancongan sendiri dan mewujudkan pakej-pakej pelancongan sendiri selepas tamat pengajian,” katanya.